Thursday, 16 May 2013

SELAMAT MENYAMBUT HARI BELIA NEGARA 2013


Kerana tiada siapa bisa menafikan, Kuasa dan aura generasi muda sebagai perencana, dalam memastikan negaranya maju dan Berjaya.

Sebagai definisi awalan, Dasar Pembangunan Pembangunan Belia Negara memberi takrifan, golongan pada lingkungan umur 15 -40 tahun dan secara statistiknya, 50% penghuni Negara kita adalah di kalangan belia. Maka, “Belia Malaysia Pemangkin Pembangunan Negara” sebenarnya berkehendakkan kita, untuk menghayati, dan menginsafi, peranan yang perlu dizahirkan belia bagi meneruskan kelangsungan citra peradaban bangsa, kerana belia adalah asset Negara yang sangat tinggi nilainya, yang akan menentukan jatuh bangun dan letak duduk pembangunan Negara.

Pertama, Bekalan Generasi Muda Bagi Mencorak Masa Hadapan.

Tatkala Datuk Sheikh Muzafar menerjah angkasa raya sebagai Angkasawan Pertama Negara, dunia sudah mula sedar akan kehebatan belia Malaysia bukan sekadar menanam angan dan cita, tetapi semuanya kita jelmakan menjadi nyata. Bahkan, langkah kerajaan meletakkan belia sebagai kumpulan sasar utama menerusi aspek pembangunan modal insan, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, cukup membuktikan betapa tingginya kedudukan golongan ini pada mata pemimpin negara.

Persoalan? Bersediakah belia kita dalam mengharungi cabaran yang digalaskan? Bersediakah belia kita andai bekalan yang dijana cuma secebis angan semata? Bersediakah kita? Andai belia yang kita anggap sebagai permata rupanya hanya serakan kaca yang menambah luka. Kerana, gelanggang siasah semasa tidak lagi memberi ruang kepada pertembungan kuasa semata-mata, tetapi persaingan minda, pertempuran idea, penjelmaan ilmu adalah bukti yang nyata.

Tanyalah satu dunia, diapa bisa menafikan keperluan ilmu bagi memacu impian negara maju. Kehebatan Muhammad Al-Fateh pemuda yang membuka kota Konstantinopal, keagungan Kota Ilmu di Basrah dan Kuffah hinggalah ke pembinaan Jamiatul Qurawin di Kota Parsi semuanya berpaksi kepada ketinggian ilmu di dada dalam menjulang idealisme belia sehingga kegemilangan tamadun diangkat dan diperhebat hasil muafakat bangsa berdarjat. Inilah hasilnya, andai belia pada hari ini memperkasa ketinggian ilmu yang ada, berpaksi pada keampuhan jadi diri dan sahsiah terpuji, apa yang kita impi pasti menjadi realiti.


Kedua, Memperkasa Belia Dalam Mendepani Cabaran

Apalah ertinya ilmu pengetahuan yang tinggi, tanpa akhlak yang terpuji, kerana akhlak mulia yang bersemi, akan menjadi pelengkap kepada belia madani. Bermula dengan sekecil-kecil menghargai ketuanan bahasa, sehinggalah kepada perjuangan adat dan warisan, menjadi petanda asas jati diri yang mekar berpanjangan. Perlu diingat, bait-bait indah “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” boleh dipatahkan begitu sahaja andai belia Malaysia tidak diperkasa. Kerana penjajahan pada hari ini bukan lagi dengan pedang dan perang, tetapi ideologi songsang dan wang ringgit yang terhidang

Saidina Umar Al-Khattab pernah ditanya oleh para sahabat, tentang apa yang diinginkan dalam kehidupan? Tatkala yang lain sibuk inginkan kemewahan, kebendaan, kekayaan, Saidina umar memberikan jawapan yang amat memberikan kesan, “Aku inginkan sekumpulan anak muda yang hebat seperti Abu Ubaydah Al-Jarrah, Muaz Ibnu Jabal, dan Salim Maula Abi Hudhaifah untuk membantu aku mendaulatkan agama”

Hari ini, kita sedar belia Malaysia mungkin tidak setabah dan sehebat para khalifah dan sahabat, namun kita sudah cukup berbangga andai belia kita berusaha memperkasa dan mencabar diri untuk menjadi sehebat mereka. Justeru, pelbagai kejayaan kita hidangkan di depan mata, selat Inggeris, puncak Everest, Kutub Utara, kembara ke tanah suci merentas Negara dan benua semuanya kita lakukan dengan semangat perwira,

Dari aspek kejayaan dalam pendidikan, kita mula ke hadapan, Najmil Faiz dengan kertas kerja teknologi nanonya, Tan Han Shun dan Rafael Mohammad Zhafrael gah dengan ciptaan kereta lumbanya, hinggalah kepada adik Aimi Nadiah Zainudin dan Nadira Ahmad Termizi sungguh berinovasi dengan ciptaan perangkap tikus tanpa tanpa sebarang cedera dan luka terhadap si tikus, cukup untuk buat kita menghela nafas lega, inilah belia yang akan mendepani cabaran Negara.

Ketiga, Pengaruh Belia Terhadap Kemakmuran Negara.

Usia merdeka sudah lebih separuh abad lamanya. Namun, adakah kita sudah cukup dewasa?
Jika ya, mengapa bayi-bayi lahir tanpa nikah, dibuang tanpa rasa bersalah? Mengapa opium, syabu dan pil kuda, menjadi makanan ruji anak muda? Mengapa gadis-gadis kita, berlumba-lumba siapa dulu yang hilang dara? Semua ini amalan syaitan laknat, yang melarat dalam masyarakat.

Ada di kalangan anak muda kita, sudah hilang santun dalam bicara, sudah hilang pantun dalam siulan lagunya, sudah hilang gemalai dalam rentak langkahnya. Kita khuatir, andai belia kita akan menjadi seperti si kitul yang menghancurkan kota Melaka. Kita risau, andai belia kita lemah tidak berdaya ibarat runtuhnya tamadun romawi dan parsi akibat pemuda-pemudi tidak membela pertiwi. Kita bimbang, andai belia kita hanya mampu menang sorak tapi seluruh maruah dan Negara kita tergadai.


Pilihan di tangan kita, kerana kerajaan sentiasa bersiap siaga. Pendidikan untuk semua, pusat kemahiran kita perkasa, Program rakan muda, makmal transformasi pembangunan belia telah diadun secukup rasa. 15 Mei diangkat sebagai Hari Belia Malaysia memastikan Satu Malaysia, Satu Belia, melantun ke sarwajagat raya. Semuanya untuk memastikan kejayaan pasti dalam genggaman.



 SELAMAT MENYAMBUT HARI BELIA NEGARA 2013 KEPADA SELURUH BELIA MALAYSIA, SAMA-SAMA KITA RAIKAN PADA 23-26 MEI 2013 DI FESTIVAL BELIA PUTRAJAYA.


*HIDUP BIARLAH BERBAKTI ,WALAUPUN TIDAK DIPUJI

SALAM PERJUANGAN'



ZAHARRUDDIN ABD MAJID
PENGERUSI (PRESIDENT) : PERSATUAN BELIA DINAMIK BARAT (DINAMIK BARAT YOUTH CLUB)
PEMIMPIN (AWARD LEADER): PROGRAM REMAJA PERDANA R.MUDA MALAYSIA (THE INTERNATIONAL AWARD)
KPR (PLATOON LEADER) : IKATAN RELAWAN RAKYAT MALAYSIA
JURULATIH BINA INSAN(YOUTH TRAINER):APBM P.DICKSON (MALAYSIAN YOUTH DEVELOPMENT ACADEMY)
SETIAUSAHA (SECRETARY) : PEMUDA UMNO CAW. RAHANG, SEREMBAN
BAHG. OPERASI (OPERATION SITE) : MBNNS ( NEGERI SEMBILAN STATE YOUTH COUNCIL)

No comments:

Post a Comment